PRK Galas : Pertembungan BN Dengan Pas

 

GUA MUSANG, 26 Okt – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 Nov ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

BN diwakili Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang Abdul Aziz Yusof, 49, manakala calon Pas ialah Dr Zulkefli Mohamad, 44, ialah Pemangku Yang Dipertua Pas kawasan Gua Musang.

Selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Wan Mustapha Wan Abdul Hamid mengumumkan nama kedua-dua calon itu pada 11 pagi.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan bergemuruh para penyokong kedua-dua parti itu.

Abdul Aziz, merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi dan Dr Zulkefli, menyerahkan borang pencalonannya pada 9.30 pagi.

Proses pencalonan itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, walaupun parti-parti politik yang bertanding itu membawa bersama ribuan penyokong.

Bagaimanapun, Presiden Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat yang menyatakan akan meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil ini, tidak muncul pada penamaan calon hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Chek Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Nov sebagai tarikh pengundian.

Pilihan raya kecil DUN Galas merupakan yang kedua di Kelantan selepas Pilihan raya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai 2009 dan pilihan raya kecil yang ke-12 berlangsung di seluruh negara selepas pilihan raya umum 2008.

Comments are closed.