Bermula Di Galas, RTM Akan Buat Liputan Dan Siar Berita Pembangkang – Rais

GUA MUSANG, 26 Okt — Bermula Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kempen dan aktiviti pembangkang akan diberi liputan dan disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menyedari mengenai pemikiran baik daripada pembangkang, beliau berkata pihaknya memutuskan memberi ruang tersebut tetapi berita yang dikeluarkan perlu berkaitan masyarakat majmuk dan isu-isu nasional yang mampu menjana kebaikan bersama. 

“Bermula pilihan raya ini sehingga mana-mana pilihan raya selepas ini RTM akan teruskan format ini dengan memberi ruang dan jendela kepada pembangkang untuk mendapat liputan.

“Kita sudah sedar dan kita harus ambil berat. Masa sudah sampai kita ada lunas keberkesanan untuk kepentingan ramai. Sebelah sana pun pemikiran baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang di sini selepas penamaan calon hari ini.

Mengenai jangka masa berita itu, Rais berkata ia bukan soal minit dan sekiranya berita itu penting dan memberi satu ledahan yang baik pada rakyat, ia harus diambil saja tanpa mengira jangka masa.

“Contohnya, kata la Datuk Seri Hadi Awang (Presiden Pas) bercakap pentingnya orang Islam bersatu, tak boleh kita kata berapa minit, kita ambil dan kita siarkan. Itulah maksud saya,”katanya.

Beliau berkata, kebenaran itu bagaimanapun tetap ada tertibnya seperti perlu mengelak dari memaki-hamun, membuat provokasi dan menyampaikan ideologi parti.

Rais turut menyatakan rasa bangga di atas kelancaran proses penamaan calon dan memuji para penyokong yang tidak melakukan sebarang provokasi malah pemimpin kedua-dua parti juga menunjukkan rasa hormat antara satu sama lain apabila saling tegur-menegur dan kunjung mengunjungi ketika menunggu pengumuman akhir calon dibuat.

“Inilah yang bagus, jadi apabila keadaan ini dihasratkan oleh masing-masing…lama-lama esok kita akan ada satu masyarakat yang faham demokrasi dalam suasana pemahaman demokrasi yang sebenarnya.

“Kalau dulu ada yang bergaduh, maki sana, maki sini, baling sana sini…kini dah tak ada. Kita mesti matang dan akhirkan perkara ini,” katanya.

Mengenai suasana tenang semasa proses penamaan calon hari ini, Rais berkata keadaan itu menggambarkan keadaan persahabatan, muhibah dan silaturrahim kedua-dua pihak bagi meneruskan proses demokrasi.

“Beberapa tahun dulu, kita lihat macam-macam pertembungan, ada sorak sorai, mengeluarkan kata-kata kesat tetapi di Galas ini tidak berlaku dan saya sangat terharu dengan kelakuan dan gelagat pihak-pihak berkenaan.

“Ini baik untuk negara kita walaupun kita bertembung ideologi dan pendapat, tetapi kita ada ruang untuk menghormati adab tamadun kita dan cara kita berfikir dan bertindak,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, suasana itu juga mencerminkan berkemungkinan tidak akan ada pergolakan dan pergeseran antara pihak bertanding ketika diumumkan pemenang bagi kerusi DUN berkenaan.

Rais turut meminta media alternatif agar tidak melontarkan pandangan atau kata-kata kesat di dalam laman blog mereka bagi mengeruhkan suasana pada pilihan raya kecil itu sebaliknya perlu perlu bersikap adil dan positif seperti dilakukan wartawan media lain.

“Bagaimana benci pun kita terhadap seseorang jangan keterlaluan menggunakan tuduhan dan tohmahan sehingga hilang harga diri sebagai penulis blog,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap suasana tenang semasa proses penamaan calon itu akan berterusan semasa tempoh berkempen dan hari pengundian pada 4 Nov ini.

Katanya keadaan itu disebabkan kawalan keselamatan yang terancang selain tiada provokasi oleh penyokong parti bertanding.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, pertembungan satu lawan satu antara BN dan Pas juga turut menyumbang kepada keadaan itu berbanding pertembungan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita lihat tempat-tempat di mana ada calon PKR, memang ada usaha-usaha untuk menimbulkan provokasi, di sini (Galas) tak nampak ramai penyokong PKR,” katanya.

Katanya, suasana itu perlu dikekalkan tanpa pendekatan yang agresif serta tohmahan dan fitnah.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas yang akan diadakan pada 4 Nov nanti bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusof, 49, dan PAS Dr Zulkefli Mohamad, 44. -Bernama

 

Comments are closed.