Polis Ingatkan Penyokong Parti Arahan Ketika Penamaan Calon

GUA MUSANG, 25 Okt – Para penyokong parti yang bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas diingatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa ketika proses penamaan calon esok.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua mereka harus berkumpul di tempat yang telah ditetapkan polis bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. 

Penyokong Barisan Nasional (BN) akan berkumpul di kediaman Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah di Bukit Cekati, manakala penyokong PAS pula diminta berhimpun di kawasan berhampiran Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra sebelum ke pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Pemilihan kedua-dua tempat ini telah dipersetujui parti-parti bertanding, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata seramai 500 anggota polis akan ditempatkan bagi menjaga keselamatan dan keamanan esok, termasuk mengawal lalu lintas ke pusat penamaan calon.

Beliau turut mengingatkan parti-parti bertanding agar tidak menyentuh isu sensitif ketika berkempen.

 

Comments are closed.