Terserah Kepada PM Tentukan Calon – Ku Li

GUA MUSANG 14 Okt. – Kepulangan Tengku Razaleigh Hamzah ke Gua Musang hari ini menandakan bermulanya percaturan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk menghadapai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Beliau yang telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN di sini berjanji akan memastikan jentera parti dapat bergerak lancar bagi membolehkan parti itu merebut kembali kerusi DUN berkenaan.

“Saya baru sampai hari ini, tetapi saya mendapat laporan semua pemimpin di peringkat cawangan sudah bersemangat, Insya-Allah kita akan gerakkan jentera dengan bantuan semua orang.

“Saya baru sampai hari ini, tetapi saya mendapat laporan semua pemimpin di peringkat cawangan sudah bersemangat, Insya-Allah kita akan gerakkan jentera dengan bantuan semua orang.

“Kita akan lakukan terbaik sekiranya berlaku pilihan raya. Saya harap kita dapat menjalankan kerja dengan baik dan mendapat kerjasama semua pihak,” tegas beliau ketika ditemui sebelum menghadiri Mesyuarat Khas UMNO Bahagian Gua Musang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Gua Musang, Senator Datuk Wan Hazani Wan Mohd. Noor; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Yusof Ghani dan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Bazlan Baharuddin.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang tiba buat pertama kali di sini kira-kira pukul 4.30 petang ini selepas dilantik untuk mengetuai jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Galas 4 November ini.

Jelas beliau, mesyuarat khas tersebut dibuat untuk membincangkan beberapa agenda termasuk senarai nama calon yang akan dicadangkan untuk mewakili BN pada pilihan raya itu nanti.

Bagaimanapun jelasnya, mereka hanya akan mencadangkan beberapa nama yang layak dan keputusan akhir terletak di tangan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Semua boleh bertanding kalau layak di bawah perlembagaan negeri dan undang-undang negeri dan calon mestilah ahli UMNO asalkan kelayakannya untuk bertanding ada,” katanya.

Ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa nama Setiausaha UMNO Gua Musang, Aziz Shamsuddin dan Bazlan yang disebut-sebut sebagai calon beliau berkata: “Saya tidak tahu terpulang pucuk kepemimpinan parti.”

Mengenai tarikh pengumuman calon BN yang agak lewat iaitu pada 24 Oktober ini berbanding Pas yang akan mengumumkan calon mereka dua hari lebih awal, beliau berkata, ia juga bergantung kepada keputusan Presiden.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh penamaan calon manakala 4 November depan untuk hari pengundian.

Comments are closed.