Orang Asli Kuala Betis Perlukan Air Bersih

UA MUSANG 15 Okt. – Lebih 40 buah keluarga Orang Asli dari suku Temiar di Kampung Lambuk, Kuala Betis di sini berhadapan dengan keadaan sukar apabila sumber air tandak yang mereka nikmati sejak sekian lama telah tercemar dengan lumpur serta berbau busuk.

Pencemaran tersebut berlaku sejak tiga bulan lalu yang dikatakan berpunca daripada aktiviti sebuah syarikat ladang kelapa sawit “Ladang Rakyat” yang telah menebang semua pokok di situ yang sebelum ini menjadi perlindungan di kawasan tadahan air bukit berkenaan.

Lebih mendukacitakan, sisa pokok kayu berkenaan kemudiannya dikatakan dibuang ke dalam tadahan air tandak berkenaan sehingga berlaku pencemaran yang serius.

Penduduk mendakwa sejak masalah itu berlaku ramai daripada mereka terutama kanak-kanak menghidap penyakit kulit dan cirit birit sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Gua Musang.

Tinjauan di Kampung Lambuk mendapati kawasan sekitar tadahan air menjadi gondol dan apabila berlaku hujan, keladak dan lumpur akan memasuki ke kawasan tadahan air.

Seorang penduduk, Adam Asu, 67, berkata masalah yang dihadapi mereka tidak pernah mendapat pembelaan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri yang mereka dakwa telah memberi restu kepada syarikat terbabit untuk menjalankan aktiviti mereka.

“Kami tidak tahu hendak dapat sumber air di mana lagi dan terpaksa guna air tandak yang tercemar kerana inilah sumber air yang kami ada,” katanya.

Beliau berkata penduduk telah membuat bantahan terhadap pihak syarikat supaya tidak menebang pokok, tetapi tidak mendapat perhatian.

Angah Anjang, 40, pula meminta kerajaan negeri meninjau keadaan kampung mereka dan tidak sekadar menunjuk muka untuk berkempan menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas di bawah kawasan Parlimen Gua Musang.

“Pemimpin kerajaan negeri patut datang dan dengar masalah kami,” Katanya.

Comments are closed.