UA MUSANG, 13 Okt – Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata masih terlalu awal untuk menilai sokongan kaum Cina terhadap parti mana pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan datang.
Beliau berkata lebih 2,000 pengundi Cina di kawasan itu kini mengambil sikap “tunggu dan lihat” pendekatan yang diambil oleh parti-parti politik bagi membela nasib mereka.
“Masih awal untuk kita buat penilaian sokongan pengundi Cina ini untuk menyokong parti (mana) yang bertanding tetapi apa pun MCA sudah mula menggerakkan jentera di DUN Galas. “Sebahagian besar pengundi Cina ini sebenarnya adalah anggota MCA yang juga perlu diberi perhatian pucuk pimpinan bagaimana untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya kepada pemberita selepas bertemu masyarakat Cina di Kawasan Perindustrian Gua Musang di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang Bazlan Baharuddin. Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 Okt sebagai tarikh penamaan calon dan jika ada pertandingan, tarikh pengundian adalah pada 4 Nov ini. Dr Chua berkata masyarakat Cina yang bekerja di kawasan perindustrian itu mahukan sistem jalan raya yang sempurna dan berharap pihak berwajib dapat membaiki atau menaik taraf jalan berkenaan.
“Mereka mahu ada pihak yang membaiki jalan atau menaik taraf jalan utama di kawasan ini yang tidak sempurna seperti jalan yang berlubang yang menyukarkan mereka untuk bekerja,” katanya.
Katanya MCA akan berusaha memenangi hati pengundi Cina agar menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya kecil itu nanti.
“Ketika ini kita tidak menjanjikan apa-apa peruntukan kepada masyarakat Cina dan hanya mengadakan beberapa siri pertemuan dengan mereka,” katanya.